WASHINGTON – Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengeluarkan perintah eksekutif apabila memegang jawatan itu nanti untuk membenarkan TikTok kembali beroperasi.
Katanya, ia selaras dengan hasratnya supaya Amerika Syarikat (AS) memiliki 50 peratus kepentingan dalam usaha sama berkenaan.
TikTok, yang dimiliki oleh syarikat China ByteDance, berhenti beroperasi untuk 170 juta pengguna di AS pada Ahad selepas undang-undang yang mengharamkan aplikasi itu berkuat kuasa.
Pengharaman itu berpunca daripada kebimbangan mengenai kemungkinan data rakyat AS disalahgunakan oleh pegawai China.
“Saya mahu AS memiliki 50 peratus kepentingan dalam usaha sama ini,” kata Trump menerusi media sosial.
Sehubungan itu, TikTok mula memulihkan perkhidmatannya selepas Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengembalikan akses aplikasi itu di AS apabila beliau kembali memegang jawatan pada Isnin.
Sebelum itu dalam satu perhimpunan pada Ahad menjelang majlis angkat sumpahnya, beliau berkata, AS tiada pilihan dan mesti menyelamatkannya.
Trump berkata, AS akan mencari usaha sama untuk memulihkan aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh 170 juta rakyat AS itu.
Dalam mesej kepada pengguna beberapa jam sebelum perhimpunan majlis angkat sumpah beliau, TikTok berkata: “Hasil usaha Presiden Trump, TikTok kembali di AS”.
TikTok juga mengeluarkan kenyataan awal selepas pengguna AS melaporkan mereka boleh mengakses laman sesawang aplikasi milik China itu.
“Dengan persetujuan penyedia perkhidmatan kami, TikTok sedang dalam proses memulihkan perkhidmatan,” menurut kenyataan awal TikTok.
Kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana ‘memberikan penjelasan dan jaminan kepada penyedia perkhidmatan bahawa mereka tidak akan menghadapi penalti kerana menyediakan TikTok kepada lebih 170 juta rakyat AS dan membantu lebih tujuh juta perniagaan kecil terus berkembang.”
Trump sebelum ini berkata beliau kemungkinan besar akan memberikan TikTok penangguhan selama 90 hari daripada larangan itu selepas mengambil alih jawatan, satu janji yang dirujuk oleh TikTok dalam notis kepada pengguna di aplikasinya.
Nnn