BANGI 14 Jan. – Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mempelawa peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, untuk sekali lagi memfailkan semakan kehakiman mencabar larangan merokok.
Beliau berkata, kementerian akan berdepan dengan apa sahaja yang mereka letakkan sebagai semakan kehakiman untuk ini.
“Kita akan menguruskannya. Ini adalah kali kedua daripada beliau. Akta 852 yang diluluskan dan peraturan-peraturan yang diluluskan akan berjalan seperti yang kita tetapkan. Ada yang kita lakukan segera dan ada yang kita berikan pelaksanaan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Simposium ‘Shariacare: Merintis Kesihatan Dengan Nilai-Nilai Syariah’.
Terdahulu,, Haniff dilaporkan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar larangan merokok di tempat kerja swasta yang diwartakan pada 30 September 2024 dan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau berpendapat, larangan itu dibuat tidak mengikut Perlembagaan dengan alasan merokok bukan satu kesalahan jenayah.
“Saya percaya sebagai seorang perokok, saya mempunyai hak yang sama di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menikmati ruang kerja peribadi saya dengan cara yang tidak mengganggu atau membahayakan orang lain.
“Hak ini termasuk kebebasan untuk merokok di tempat yang saya uruskan dan dibayar sendiri sepenuhnya, tanpa dikenakan sekatan tidak wajar, sama seperti rakyat Malaysia lain yang tidak merokok menikmati kebebasan mereka di tempat kerja masing-masing,” katanya dalam afidavit itu.
Nnn