SEPANG 14 Jan. – Dua orang warga emas kerugian lebih RM2 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang kripto atas talian yang tidak wujud dan sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, kes pertama melibatkan seorang pengurus syarikat yang kerugian RM1.63 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan mata wang kripto yang diiklankan dalam Facebook, baru-baru ini.
Katanya, mangsa lelaki tempatan berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan berkenaan sebelum menghubungi pengiklan melalui telefon di mana suspek kemudian memberi pautan laman sesawang untuk tujuan membuat pelaburan.
“Pengadu kemudian membuat 15 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam enam akaun bank suspek yang berbeza bagi tujuan membeli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditukarkan kepada mata wang kripto.
Bagaimanapun, setelah membuat berbelas pindahan wang, mangsa tiada menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Hussein berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Ampang Jaya dan siasatan kini sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki warga emas kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dimaklumkan kononnya mempunyai kesalahan jenayah, iaitu menyalahgunakan produk penjagaan kulit, mempunyai waran tangkap kes dadah serta kes pengubahan wang haram.
Bagi mengelak waran tangkap dikeluarkan ke atasnya, suspek meminta pembayaran dibuat dan susulan itu mangsa membuat dua pindahan wang secara dalam talian ke dalam dua akaun bank berbeza.
Suspek juga meminta mangsa memuat naik gambar bahagian depan dan belakang kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa.
“Setelah memuat naik gambar itu, mangsa mendapati wang dalam akaun bank miliknya berkurangan dengan sehingga mengalami kerugian berjumlah RM997,105.50,” katanya.
Hussein berkata, kedua-dua kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu.
Nnn