Perkhidmatan kesihatan patuh syariah

BANGI 14 Jan. – Kementerian Kesihatan komited meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah bagi memberi nilai tambah yang signifikan kepada pesakit, terutama umat Islam, kata Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata konsep patuh syariah bukan hanya mencakupi perkhidmatan kesihatan dan kemudahan tetapi juga alat perubatan serta farmaseutikal, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam penjenamaan nilai patuh syariah.

Katanya, sejak 2014, sebanyak 35 peratus atau 54 hospital mempunyai sijil Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang diperakui oleh KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, Hospital Mesra Ibadah mula diperkenalkan sejak 1998 oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dikembangkan sejak 2010 kepada hospital KKM seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu, Hospital Shah Alam di Selangor, Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Institut Kanser Negara di Putrajaya.

“Ini yang kita mahu tingkatkan supaya ia menjadi satu nilai tambah yang baik yang dicari, khususnya oleh Muslim yang ingin mendaftar dan menjadi pelanggan perkhidmatan itu.

“Patuh syariah ialah semua yang berkaitan kesejahteraan keseluruhan masyarakat. Ia membabitkan perkhidmatan berkualiti yang berpatutan, selamat dan berkesan,” katanya  selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pendekatan holistik ini telah mendapat permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelancong kesihatan dan pelancong dari negara majoriti Muslim.

“Kita perhatikan juga, kebelakangan ini, di bawah Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), terdapat peningkatan minat daripada pesakit antarabangsa terutama dari Asia Barat, yang secara khusus mencari perkhidmatan patuh syariah,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, usaha sedang dijalankan untuk memperluas pensijilan ini kepada lebih banyak hospital kerajaan dan swasta bagi menarik pelancong kesihatan, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, penjagaan kesihatan berteraskan syariah bukanlah sesuatu yang baharu dan ia berakar dalam sejarah Islam.

Related posts

Leave a Comment