LAPORAN mengenai lebih 300 jemaah umrah terkandas menarik perhatian, lebih-lebih lagi baru Khamis lalu penulis tiba dari Madinah selepas selesai umrah di Makkah. Jika yang baru kembali terasa ingin lagi ke sana apatah lagi yang sudah ‘pasang niat’.
Sudah tentu amat sedih dan kecewa jika pada saat akhir penerbangan ditangguhkan, sedangkan bayaran penuh sudah dijelaskan, kesihatan pula baik, dan hanya menunggu masa untuk menjejakkan kaki di dua Tanah Suci.
Tidak dapat dibayangkan perasaan seseorang jemaah apabila tiba hari yang dinanti, sama ada sudah tiba di KLIA, atau dalam perjalanan ke KLIA, tiba-tiba dimaklumkan penerbangan ditangguhkan atau tempahan hotel di Arab Saudi dibatalkan.
Maknanya perjalanan ke Jeddah atau Madinah ditangguhkan. Tidak tahu entah bila, jadi atau tak jadi.
Menangguhkan penerbangan atas alasan masalah tenikal pesawat masih boleh diterima tetapi jika penerbangan itu tidak wujud, apa kesudahannya? Begitu juga dengan tempahan hotel. Kenapa tiba-tiba boleh batal?
Khabarnya, ini yang berlaku kepada lebih 300 jemaah umrah yang dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan yang ‘ada nama’ juga tetapi bukan dalam kumpulan Pengendali Jemaah Haji (PJH). Mereka masih ternanti-nanti penjelasan.
Kumpulan jemaah ini dilaporkan terkandas apabila tiada penerbangan seperti dijanjikan pada hari ini.
Difahamkan, jemaah dimaklumkan mengenai penangguhan itu petang semalam dengan alasan yang diberikan oleh pihak syarikat antara lain adalah hotel penginapan telah dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.
Pihak syarikat dikatakan memaklumkan penerbangan itu ditangguhkan sehingga 19 dan 24 Januari ini tetapi pada masa yang sama jemaah juga meragui status visa dan hotel penginapan.
Tinjauan di media sosial pula mendapati ramai jemaah kesal dan kecewa susulan penangguhan itu.
Dalam satu hantaran melalui Facebook, seorang jemaah memaklumkan pihak syarikat selepas ‘ditekan’ berkali-kali mula menjelaskan kembali bayaran kepada jemaah yang hadir di ibu pejabat syarikat berkenaan. Tetapi tidak semua.
Dalam satu hantaran lain, jemaah yang sepatutnya ‘terbang’ semalam digesa membuat tuntutan dan ‘tidak bersangka baik’ akan ada umrah sepanjang tempoh sehingga 19 Januari ini.
Katanya, beliau mendapat balik wang tersebut tetapi tidak sepenuhnya sambil menegaskan akan menuntut kesemuanya tanpa meninggalkan baki walau satu sen pun.
Beliau juga menasihatkan jemaah lain yang ingin menunaikan umrah supaya memastikan ‘di depan mata’ ada salinan visa, salinan tiket penerbangan dan salinan tempahan hotel.
Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kita di luar hanya mampu bersimpati. Pastinya menjelang detik penerbangan ke Jeddah atau Madinah sama ada melakukan umrah dahulu atau ziarah, banyak persiapan sudah dilakukan.
Bagi yang bekerja, sudah tentu mengambil cuti sekurang-kurangnya dua minggu terutama bagi pakej 12 hari 10 malam. Apa jadi dengan cuti itu? Jika boleh kembali bekerja bagus tetapi jika tidak, adakah perlu mohon semula cuti baharu seterusnya?
Begitu juga jemaah yang datang dari luar Kuala Lumpur.
Tidak dinafikan itu ujian Allah SWT tetapi sebagai manusia, kita juga diminta berusaha dan berikhtiar untuk memudahkan perjalanan.
Justeru, carilah jalan untuk memastikan syarikat pengendali umrah yang akan diikuti benar-benar mempunyai rekod perkhidmatan terbaik dalam mengendalikan perjalanan jemaah di dua Tanah Suci itu.
Biarlah semasa kita membuat keputusan memilih syarikat itu, visa terjamin, begitu juga jaminan penerbangan dan penginapan.
Kepada syarikat berkenaan tampillah memberi penjelasan yang meyakinkan supaya imej syarikat terjaga demi kelangsungan perniagaan dan mengelakkan tindakan tegas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Untuk rekod, selepas beberapa kali menunaikan umrah, pilihan saya adalah Andalusia Travel & Tours (Andalusia) kerana tahu syarikat ini mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat penerbangan dan rangkaian hotel di Arab Saudi.
Malahan pada satu masa, ketika melakukan tugasan satu persidangan Negara Arab-Amerika Syarikat di Riyadh, saya memilih Andalusia untuk mengatur umrah dan ziarah sebaik sahaja urusan liputan yang ditugaskan selesai.
Alhamdulillah pihak Andalusia mengatur segalanya, bermula penerbangan Riyadh ke Madinah, menghantar petugas menjemput di lapangan terbang, penginapan di hotel seterusnya mengatur perjalanan bersama jemaahnya ke Makkah untuk umrah.
Kata seorang sahabat yang terserempak di Makkah baru-baru ini, beliau juga memilih Andalusia. Berbaloi katanya. Makanan juga terutama di Makkah sedap!
Nnnn
