KUALA LUMPUR 14 Jan. – Sijil nikah anak seorang menteri Kabinet adalah sah, selepas mereka berkahwin di negara jiran September lalu, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Katanya, sijil nikah itu setelah disemak adalah sah dari negara jiran, di mana hasil siasatan mereka ini bercinta dan ingin berkahwin namun ada halangan.
Beliau berkata, pasangan itu sebenarnya menyorok perkahwinan yang berlaku pada September tahun lalu dan rakan-rakan mereka sendiri tidak mengetahuinya.
“Kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan dihantar ke Timbalan Pendakwaraya (TPR) di Pulau Pinang di mana masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, di Pulapol, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, juga dilapor berkata, anaknya tidak mengatasi undang-undang dan sekiranya ada laporan terhadapnya, dan polis bertanggungjawab untuk melakukan siasatan dengan telus dan seadilnya.
Terdahulu tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Nnn
