PUTRAJAYA 28 Okt. – Sebanyak 2.62 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari puncak sempena Deepavali, kata Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM), Datuk Sazali Harun.
Daripada jumlah ini, sebanyak 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS.
Selain itu Lebuhraya KL–Karak dijangka menerima 198,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, (78,220), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (59,220) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 153,700.
Bagi mendepani peningkatan trafik, Sazali berkata, semua syarikat konsesi lebuh raya diarah melakukan persediaan rapi supaya perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.
Ia termasuk meminta semua syarikat konsesi untuk tidak melaksanakan penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula 24 Oktober lalu hingga 4 November ini.
Selain itu, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi yang sudah dikenalpasti di Lebuhraya PLUS dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL-Karak.
“Pastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh berkenaan terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.
“LLM juga mengarahkan syarikat konsesi memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelak kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai aliran trafik tinggi,” katanya.
Nnn
