DAPSY ingatkan jangan seperti tin kosong

SEPANG 13 Jan. – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong, mengingatkan pemimpin Pemuda UMNO supaya tidak mengapi-apikan bahang politik dan berlagak seperti hero.

Katanya, pemimpin pemuda harus membantu untuk membina jambatan perpaduan, bukannya menjadi api dalam sekam dengan membakar lagi jambatan tersebut.

“Jangan bertindak seperti tin kosong, sangat bising tetapi tidak berisi dan kosong sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk isu penjualan pek sandwic di KK Mart Universiti Malaya (UM) yang diragui status halalnya yang dakwanya ditularkan oleh Ketua Pemuda UMNO  Dr Akmal Saleh, seolah-olah pihak universiti tidak mengambil apa-apa tindakan.

Katanya, pihak UM telahpun mengarahkan penutupan serta-merta apabila berlakunya insiden yang meragukan.

Beliau menyeru semua pemimpin politik agar menurunkan suhu politik yang semakin panas, sambil mengkritik tindakan segelintir pihak yang didakwanya cuba mengeruhkan keadaan di negara ini.

Kah Leong turut menyatakan keyakinan bahawa universiti di bawah kelolaan Menteri Pengajian Tinggi dari UMNO tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan, sekaligus menolak naratif yang cuba dimainkan oleh pembangkang.

Beliau menegaskan komitmen DAPSY untuk terus menjaga keharmonian antara kaum dan agama di bawah konsep Malaysia Madani sambil menentang usaha mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment