RIYADH – Sebanyak €50 juta (AS$51 juta) diperuntukkan Jerman sebagai bantuan kemanusiaan kepada Syria, kata Menteri Luar Annalena Baerbock di luar satu persidangan di sini semalam.
Dana itu akan disalurkan kepada Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai organisasi bukan kerajaan untuk menyediakan makanan, tempat perlindungan kecemasan, serta penjagaan perubatan.
Baerbock turut membincangkan prospek melonggarkan beberapa sekatan terhadap Syria tetapi menegaskan, sekatan terhadap anggota rejim bekas pemerintah Syria Bashar al-Assad, yang didakwa melakukan jenayah serius semasa perang saudara, perlu dikekalkan.
Kerajaan Jerman juga mencadangkan pendekatan “pintar” kepada Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong rakyat Syria dengan cepat, termasuk memastikan bekalan makanan dan peningkatan bekalan elektrik harian supaya kerja-kerja pembinaan semula dapat dimulakan.
“Semua ini menggalakkan kestabilan dan memastikan peralihan kuasa secara aman,” kata Baerbock.
Selain Baerbock, peserta persidangan itu termasuk menteri luar dari negara Arab, Menteri Luar Syria Asaad al-Shibani, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, Menteri Luar Britain David Lammy serta Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas.
Nnnn