Lagi hospital Covid-19 di Selangor

BANGI 10 Julai – Sebuah lagi hospital di Selangor akan dijadikan hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya sebagai strategi mendepani kemasukan pesakit COVID-19 yang tinggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman.

Ketika inj, terdapat dua hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya di Selangor iaitu Hospital Ampang dan Hospital Sungai Buloh.

“Buat masa ini, persiapan sedang dijalankan bagi memastikan hospital berkenaan bersedia menerima pesakit COVID-19,” katanya selepas mengiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Pangsapuri Sri Ayu di sini, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, kemudahan kesihatan awam di Selangor juga ditambah lebih banyak katil dan lebih banyak wad dibuka.

Katanya, Hospital Serdang sudah ada pertambahan 100 katil, manakala di Hospital Ampang pula kira-kira 50 katil tambahan boleh digunakan dengan segera.

“Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sungai Buloh sedang dalam perancangan untuk diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) yang boleh menempatkan 1,200 pesakit dalam satu-satu masa,” katanya.

Mengenai kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Sha’ari berkata, beberapa inisiatif sudah diambil bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya menjadikan pusat rawatan harian hospital itu sebagai tempat merawat pesakit Covid-19.

Related posts

Leave a Comment