Amaran salji lebat berterusan di Poland

WARSAW – Salji lebat diramalkan berterusan melanda kawasan timur, selatan dan tengah Poland dengan kawasan pergunungan dijangka menerima taburan salji paling tinggi.

Gunung Tatra kekal bawah amaran runtuhan salji tahap dua hingga pukul 8 malam waktu tempatan, semalam.

Taman Negara Tatra menasihati pelancong supaya lebih berhati-hati, sekali gus memberi amaran mengenai keadaan berbahaya di kawasan altitud tinggi, termasuk timbunan salji tebal dan pembentukan ‘cornice’ salji akibat angin kencang.

Dalam pada itu, kira-kira 32,000 isi rumah di seluruh Poland, terutama di wilayah utara, terputus bekalan elektrik akibat ribut salji.

Seorang pegawai Pusat Keselamatan Kerajaan memaklumkan, pasukan kecemasan giat berusaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus.

Secara keseluruhan, pasukan bomba telah bertindak atas hampir 1,000 insiden berkaitan cuaca sejak Khamis lalu, termasuk dahan patah, pokok tumbang dan talian elektrik terjejas.

Sementara itu lebih 2,300 kenderaan membersihkan salji dan penyelenggaraan sepanjang malam bagi memastikan perjalanan selamat.

Related posts

Leave a Comment