HAMILTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa Israel menghentikan serangan ke atas wilayah Syria.
Sambil mengecam sekeras-kerasnya pelanggaran besar-besaran terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria, baru-baru ini, beliau mengingatkan perjanjian pemisahan 1974 antara Israel dengan Syria masih berkuat kuasa.
Justeru beliau mengutuk semua tindakan yang tidak selaras dengan perjanjian itu.
Perjanjian berkenaan menetapkan sempadan zon penampan dan kawasan bebas tentera dipantau oleh Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF) yang bertugas mengekalkan gencatan senjata antara Israel dengan Syria selepas Perang Timur Tengah pada 1973.
“Setiausaha Agung amat prihatin akan ratusan serangan udara Israel di beberapa lokasi di Syria, dan menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan keganasan di semua kawasan negara itu,” kata jurucakap, Stephane Dujarric, pada satu sidang media.
Dujarric berkata, semua pihak terbabit dalam perjanjian itu diminta mematuhi kewajipan mereka, termasuk menghentikan semua kehadiran tidak dibenarkan di kawasan pemisahan, serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata dan kestabilan di Bukit Golan.
“Setiausaha Agung menekankan pentingnya mengekalkan ketenteraman awam sambil menyokong pengaturan peralihan yang boleh dipercayai, teratur dan terangkum di Syria,” katanya.
Ditanya sama ada dakwaan Israel untuk mencegah senjata jatuh ke tangan yang salah, boleh menjadi justifikasi bagi serangan berulang terhadap Syria, Dujarric berkata, bahyak negara memberikan alasan untuk melanggar kedaulatan negara lain.
“Apa yang jelas, kami bimbang terhadap pelanggaran berulang terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Syria,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Syria memerlukan sokongan negara jirannya untuk bergerak ke arah sistem tadbir urus yang terangkum, demokratik dan melindungi hak golongan minoriti.
Selain itu, pihak yang mengawal Syria juga harus memastikan semua senjata berada bawah kawalan bagi mengelak penjarahan atau kehilangan.
Tentera Israel dilaporkan telah menawan zon penampan di Bukit Golan yang diduduki Syria pada Ahad lalu, tidak lama selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan perjanjian pemisahan yang dipantau PBB dengan Damsyik telah terjejas.
Tentera Israel melancarkan ratusan serangan udara terhadap pangkalan tentera, stesen pertahanan udara, ibu pejabat perisikan, serta depot peluru berpandu jarak jauh dan dekat, dan stok senjata tidak konvensional di seluruh Syria.
Nnn
