869 kes, tertinggi setakat ini

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu Covid-19 melonjak kepada 869 kes hari ini, 17 Oktober, yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara.

Empat kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini ialah 180 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan keseluruhan 19,627 kes, dengan kes aktif kebolehjangkitan meningkat kepada 6,886.

Kes baharu hari ini kesemuanya penularan dalam negara melibatkan 745 warganegara dan 124 bukan warganegara dengan Sabah masih mencatat jangkitan baharu tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus).

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai, yang merupakan kes terasing di dalam penjara serta tidak menjangkiti masyarakat.

Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 adalah sebanyak 441 kes.

Terdapat 302 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah 12,561.

Sehingga kini, terdapat 91 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment