PARIS – Francois Bayrou, Datuk Bandar Pau, sebuah bandar di barat daya Perancis dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi negara itu, seminggu selepas penyandang jawatan itu, Michel Barnier disingkirkan dalam undi tidak percaya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan pelantikan sekutunya yang berhaluan tengah pada Jumaat lalu dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
Bayrou yang pernah bertanding untuk jawatan Presiden sebanyak tiga kali sebelum menyokong Macron pada 2017 merupakan pengasas parti politik berhaluan tengah, Democratic Movement (MoDem).
Susulan pelantikan itu, Bayrou perlu membentuk kerajaan dan berusaha meluluskan belanjawan dalam Parlimen yang terbahagi dengan ketara, berikutan Macron berdepan penentangan dari blok sayap kiri dan kanan.
Kerajaan minoriti Barnier sebelum ini tumbang selepas hanya tiga bulan apabila beliau cuba meluluskan belanjawan 2025 yang merangkumi kenaikan cukai sebanyak 60 bilion euro (RM280.4 bilion).
Usahanya untuk memaksa agenda itu dilaksanakan tanpa undian memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk menggulingkannya, dengan kuasa kiri dan kanan bersatu untuk menjatuhkannya.
Bayrou kini perlu mengambil alih cabaran itu, dan beliau mesti meluluskan belanjawannya sendiri sebelum 21 Disember ini.
Krisis politik Perancis tercetus apabila Macron menyeru pilihan raya Parlimen tergempar pada Julai lalu yang akhirnya menyebabkan Ahli Parlimen berhaluan tengah terperangkap di antara blok kiri dan kanan yang berkuasa.
Nnn…
