Hujan lebat dua kali ganda punca banjir

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Hujan lebat berterusan melebihi tempoh enam jam yang membawa limpahan hujan dua kali ganda menyebabkan banjir teruk di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata limpahan hujan dua kali ganda itu sekali gus mengakibatkan kenaikan paras sungai berbanding 2014 menyebabkan banjir di dua negeri itu menjadi teruk berbanding 10 tahun lalu.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan pertembungan air pasang besar serta permulaan musim tengkujuh yang bermula dari 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan.

“Punca banjir di Kelantan dan Terengganu disebabkan hujan lebat melebihi enam jam yang membawa limpahan hujan (aliran) dua kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan yang berbeza mengikut tempat.

Ada tempat limpahan hujannya melebihi dua kali ganda daripada jumlah purata hujannya daripada biasa selain didorong keadaan air pasang besar.

“Ini bermakna paras sungai, laut yang sedia tinggi bertembung dengan hujan mengakibatkan limpahan sungai lebih tinggi daripada 2014,” katanya pada sidang media selepas melawat Bilik Gerakan Banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Ampang di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sebelum itu turut melawat Bilik Gerakan Banjir di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Timur 19, Petaling Jaya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan aliran limpahan sungai itu mengalir ke Pahang dan Johor dan membawa risiko banjir sama ke arah selatan.

“Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga sehingga Mac dan sentiasa memantau aliran aliran air sungai dan juga hujan,” katanya.

Katanya, seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) musim tengkujuh ini diramalkan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

“Memang diramalkan banjir besar berpotensi berlaku di 4,617 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai selepas hujan lebat berterusan melebihi enam jam,” katanya.

Katanya , setakat semalam, tujuh amaran banjir dikeluarkan di Besut, Setiu (tiga) dengan risiko banjir bermula hari ini hingga 6 Disember.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment