Masidi beri keterangan kepada SPRM

KOTA KINABALU 3 Dis. – Selepas tular video dakwaan skandal rasuah RM300,000 , Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini.

Menerusi kenyataannya, Masidi berkata, beliau ke pejabat SPRM Kota Kinabalu pada pukul  8 malam untuk memberi keterangan kepada agensi penguat kuasa itu.

“Saya ingin memaklumkan saya secara sukarela dan tanpa dipanggil oleh pihak SPRM memberi keterangan berhubung video yang tular hari ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu jam 8 malam.

“Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu ini. Kunjungan saya ke pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha agensi ini membanteras rasuah di negeri ini,” katanya.

Dalam kenyataannya petang tadi, Masidi mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.

Beliau yang merujuk kepada video terbaharu berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didedahkan sebuah portal berita hari ini, turut berkata tidak ingat perbualannya ketika video itu dirakam.

“Saya merujuk kepada video ‘whistleblower’ yang mengaitkan saya disiarkan sebuah portal. Untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan itu kerana rakaman perbualan terbabit disunting.

“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. Saya tidak tahu-menahu mengenai wang sebanyak RM300,000 yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya,” katanya.

Nnn

 

 

Related posts

Leave a Comment