KUALA LUMPUR 3 Dis. – Projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur masih mengikut jadual, walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini melainkan satu di Terengganu, projek berkenaan masih mengikut jadual.
Beliau menjelaskan keputusan membatalkan beberapa projek dibuat ketika itu (2022) adalah kerana kerajaan MADANI menolak amalan rundingan terus yang disifatkan mempunyai asas yang cukup lemah.
Mengenai bukti sama ada ia berupaya menyelamatkan dana, Perdana Menteri berkata: “Ya, kita ada rekod bahawa dalam rundingan terus dengan proses tender, memang kita selamatkan dana besar daripada yang diperuntukkan sebelumnya,”
“Jadi, saya nak bagi jaminan, janganlah ini akan menyebabkan kelambatan tapi proses penilaian teknikal oleh kementerian dan penilaian kewangan oleh Kementerian Kewangan itu harus dipatuhi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai sama ada terdapat bukti penyelewengan dalam proses tender projek tebatan banjir yang dibatalkan sebelum ini dan apakah keputusan membatalkan tender serta tender semula projek itu menjejaskan garis masa persediaan untuk menangani banjir besar.
Pada Disember 2022, Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.
Justeru, beliau mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula kelulusan itu bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam sistem yang diamalkan kerajaan ketika ini, proses tender mesti cukup telus dan kebocoran besar dana sebelum ini berpunca daripada amalan rundingan terus.
“Ia (pemberian tender) ikut kontraktor yang kenal dengan kementerian atau menteri, dan akan menetapkan berdasarkan kadar, kemudian penilaian teknikal dan sebagainya.
“Dalam kes ini (projek tebatan banjir) dipercepat kerana tender terhad. Sekurang-kurangnya ada perbandingan antara 10 syarikat yang berkeupayaan dan mereka akan berikan kos munasabah, dipercepat kerana anggap program ini segera,” katanya.
Menjawab soalan asal Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) Perdana Menteri berkata, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Gerak kerja (DRR) pada kali ini sangat memuaskan,” katanya.
Mumtaz bertanyakan sama DRR akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, Perdana Menteri berkata,
“Saya juga menghargai kerana persiapannya berbulan-bulan sebelum itu. Mesyuarat di Persekutuan, kerajaan negeri dan wakil daerah, dan ini menyebabkan langkah diambil seperti yang saya saksikan sendiri di Terengganu dan daripada rakan lain saksikan di Kelantan sangat memuaskan,” katanya.
Berhubung kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, Anwar berkata di Kelantan, Fasa Satu, meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.
Fasa Dua, meliputi jajahan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas diminta dipercepat, manakala Fasa Tiga, meliputi jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli sudah siap empat peratus.
Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan sudah hampir siap, iaitu Fasa Satu, meliputi jajahan Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, sudah 98 peratus siap dan dijangka siap pada Januari atau Februari 2025), manakala Fasa Dua, meliputi jajahan Kota Bharu, baru dimulakan pada tahun ini dan empat peratus siap.
Nnn