BEIRUT – Sebanyak 52 lagi terkorban dalam serangan udara Israel di bahagian timur dan selatan negara terutama di selatan Beirut, semalam.
Serangan Israel yang menyasarkan daerah Baalbek di Lembah Bekaa, timur Lubnan, mengorbankan 40 orang serta mencederakan 52 yang lain.
Kementerian Kesihatan turut melaporkan tujuh maut dan 24 cedera dalam serangan Israel di daerah Nabatiyeh di selatan Lubnan, selain lima maut serta 26 cedera ketika serangan di lokasi lain di selatan negara itu.
Pada masa sama, Hizbullah mendakwa kumpulannya melancarkan serangan paling jauh ke dalam wilayah Israel dalam tempoh lebih setahun, menyasarkan kawasan selatan Israel.
Lebih 11 bulan pertempuran merentasi sempadan antara Israel dan Hizbullah yang berpunca daripada konflik di Gaza, telah meningkat menjadi perang besar pada September.
Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran, terutama menyasarkan kubu kuat Hizbullah, dengan menghantar tentera darat ke selatan Lubnan, menyusuli operasi pengeboman udara.
Kenyataan oleh Kementerian Kesihatan memaklumkan, serangan Israel yang menyasarkan daerah Baalbek di Lembah Bekaa, timur Lubnan, mengorbankan 40 orang serta mencederakan 52 yang lain.
Kementerian turut melaporkan tujuh maut dan 24 cedera dalam serangan Israel di daerah Nabatiyeh di selatan Lubnan, selain lima maut serta 26 cedera ketika serangan di lokasi lain di selatan negara itu.
Di Israel, pasukan penyelamat melaporkan seorang lelaki terbunuh selepas serangan roket dari Lubnan menghentam wilayah Galilee di utara negara itu.
Sementara itu, di pinggir selatan Beirut, NNA melaporkan sekurang-kurangnya 12 serangan berlaku sejak semalam.
Ia berlaku selepas tempoh bertenang sementara ketika duta khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, melawat awal minggu ini untuk cuba berunding mengenai perang antara Israel dan Hizbullah.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, di platform media sosial X, mengeluarkan beberapa amaran pemindahan di kawasan pinggir selatan Beirut serta kawasan di sekitar bandar pantai selatan Tyre, namun tiada amaran dikeluarkan untuk wilayah timur Lubnan.
