KOTA KINABALU 28 Ogos – Lompat lagi ! Kali ini Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Dr Mohamadin Ketapi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Mohamadin yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan keluar parti itu pada Oktober 2021 dan menjadi wakil rakyat bebas, kemudian menyertai Bersatu pada November tahun lalu.
Pada Jun lalu, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu meninggalkan Bersatu.
Mohamadin menjelaskan keputusannya menyertai PBM berikutan matlamat utama parti terbabit adalah memperjuangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama, Mohamadin turut dilantik sebagai Ketua Perhubungan PBM di negeri ini.
“Dalam situasi politik tanah air yang tidak pernah berlaku sebelumnya, saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa rakyat dari Sabah dan Sarawak adalah penyelesaian untuk masalah kestabilan politik dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan penyertaannya selaku wakil rakyat Sabah ke PBM yang diasaskan dari Sarawak itu bakal memudahkan kedua-dua negeri berkenaan menjalinkan kerjasama khususnya dalam memastikan hak dalam MA63 ditunaikan.
“Dengan perjuangan ini kita daripada Sabah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PBM supaya kita dapat melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 dan memastikan tiada pelanggaran dalam perjanjian ini.
“Kita mahu Sabah, Sarawak dan Semenanjung bekerjasama demi kebaikan negara dan perkukuhkan kedudukan Sabah di Malaysia,” katanya pada satu sidang media khas bertempat di Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob.
Dalam sidang media terbabit, Mohamadin turut memberi gambaran bakal bertanding di bawah logo PBM apabila ditanya media kemungkinan beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
“Sama ada bertanding atau tidak (PRU-15) ini bergantung pada keadaan. Saya selaku Ketua Perhubungan PBM yang bekerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat, saya akan menjelajah seluruh Sabah dan akan rekrut ahli untuk parti ini,” katanya
