ATHENS – Pergerakan antarabangsa yang mempromosikan boikot, penarikan pelaburan dan sekatan ekonomi (BDS) terhadap Israel menyifatkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan negara itu sebagai langkah kritikal untuk pemimpin Israel bertanggungjawab atas perang Palestin.
Walaupun terlewat, waran dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) perlu disusuli dengan mengenakan sekatan sasaran ke atas Israel, termasuk embargo ketenteraan yang menyeluruh, bagi menghentikan jenayah dan kekebalan yang dinikmati oleh Israel.
“Semua negara pihak kepada Statut Rom, termasuk negara yang bersubahat seperti Jerman dan United Kingdom, kini wajib melaksanakan tugas mereka dengan bekerjasama sepenuhnya dengan ICC dan melaksanakan waran tangkap ini,” kata kenyataan BDS.
Bagaimanapun, langkah ini sahaja tidak akan menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza atau membongkar rejim peneroka-penjajah dan aparteid selama 76 tahun terhadap penduduk asal Palestin.
Menurut BDS, kezaliman dan kebiadaban Israel yang tidak terkawal, yang bersenjata, dibiayai dan disokong oleh kuasa kolonial Barat pimpinan AS, telah menerima satu tamparan yang belum pernah terjadi sebelum ini..
Waran tangkap itu yang diumumkan pada Khamis, dikeluarkan di tengah serangan besar-besaran Israel di Gaza yang baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan dilaporkan telah mengorbankan sekitar 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.
Serangan itu juga menyebabkan hampir keseluruhan populasi wilayah itu kehilangan tempat tinggal, di tengah sekatan berterusan yang disengajakan, mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk serta memaksa penduduk berdepan kebuluran.
Nnn
