LUBNAN – Israel terus melancarkan serangan udara ke atas kubu kuat Hizbullah di Beirut dan selatan Lubnan sejak semalam walaupun pegawai Lubnan menyatakan mereka sedang mengkaji cadangan gencatan senjata dari Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai kanan kerajaan di Beirut berkata kajian itu merangkumi cadangan 13 perkara untuk menghentikan konflik Israel-Hizbullah yang dibentangkan Jumaat lalu oleh Duta AS, Lisa Johnson.
Cadangan itu termasuk gencatan senjata selama 60 hari, di mana Lubnan akan menempatkan tenteranya di sempadan.
Bagaimanapun , tambah pegawai itu, Israel masih belum memberi maklum balas kepada perancangan terbabit.
Seorang lagi pegawai, yang juga enggan dikenali, berkata beliau ‘optimis’ dengan rundingan tersebut.
Jumaat lalu, Iran menyatakan sokongan terhadap kumpulan Hizbullah untuk rundingan gencatan senjata bagi penamatan segera perang selama hampir dua bulan di Lubnan.
Sejak 23 September lalu, Israel meningkatkan pengeboman ke atas sasaran di Lubnan, seterusnya menghantar tentera darat selepas hampir setahun melakukan pertempuran rentas sempadan.
Semalam, Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, dalam satu kenyataan berkata, Hizbullah sudah membayar harga yang besar, namun Israel akan terus berjuang sehingga puluhan ribu penduduknya yang dipindahkan dari utara dapat kembali dengan selamat.
