GAZA – Penduduk Palestin di Tebing Barat menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan serangan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini untuk merampas penempatan mereka.
Dalam serangan terbaharu semalam, sekurang-kurangnya 43 rakyat Palestin terbunuh sementara penyerang Israel yang bertopeng bertindak membakar rumah dan kenderaan milik penduduk di perkampungan Beit Furik, berhampiran Nablus.
Di Beirut, dua lagi paramedik terbunuh dalam serangan dron Israel di Nabatieh, selatan Lubnan ketika tercetusnya kemarahan susulan kematian sekurang-kurangnya 12 anggota penyelamat dalam serangan udara ke atas pusat pertahanan awam.
Hizbullah melancarkan puluhan peluru berpandu dan dron ke pangkalan tentera Israel di utara negara itu serta mencederakan sekurang-kurangnya lima orang di bandar pelabuhan Haifa.
Dalam satu hantaran di Telegram, Hizbullah menyatakan pejuangnya melakukan serangan hendap ke atas tentera Israel di kampung Chamaa, di selatan Lebanon, pada pukul 11.15 malam waktu tempatan (21:15 GMT) yang mengorbankan beberapa individu.
Hizbullah berkata pertempuran masih berlangsung namun tentera Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai serangan berkenaan.
Terdahulu, Agensi Berita Kebangsaan Lubnan melaporkan bahawa askar Israel berundur selepas memasuki Chamaa, kira-kira lima kilometer dari sempadan Israel.
Ia adalah kemaraan terjauh tentera Israel memasuki Lubnan sejak serangan darat bermula pada 1 Oktober lalu.
Nn
