Pengerusi MUDA Perak dilucut jawatan, digantung

SEPANG 28 Dis. – “Benar, saya dilucutkan jawatan dan digantung selama 3 tahun oleh @partimuda,” . Itu komen Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Perak, Mutalib Uthman yang digantung keahlian selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Beliau melalui media sosialnya mengulas pengumuman Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi, berhubung keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti menggugurkan jawatannya disebabkan melanggar arahan parti.

Menurut Amir, pada 30 Oktober 2022, Mutalib menaikkan poster di akaun media sosial peribadinya dan MUDA Perak, mengumumkan untuk bertanding di Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan saluran dan poster rasmi parti, tanpa persetujuan parti.

“Tindakan ini didapati melanggar ketetapan MUDA dan melanggar Fasal 5 Tanggungjawab Ahli dalam perlembagaan MUDA, khususnya Fasal 5.1 (d), patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti dan 5.1 (f), memelihara nama baik dan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mutalib dalam ulasannya juga berkata : “Cuma dalam tuduhan ada nyatakan yang saya mahu sabotaj parti dengan menukar kata laluan. Saya ingin tegaskan, nak tukar kata laluan apa bendanya? Semua akaun MedSos itu saya yang buat,”

Berikutan kenyataan Mutalib mahu bertanding di Tapah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim tampil menjelaskan bahawa kerusi Tapah diperuntukkan untuk calon PKR.

Bagaimanapun Mutalib kemudiannya dipilih sebagai calon Parlimen Masjid Tanah tetapi tewas kepada penyandang Mas Ermieyati Samsudin (PN) yang memperoleh 25,604 undi manakala  Abdul Hakim Abdul Wahid (BN) 21,193, Mutalib 7,445 dan Handrawirawan (Pejuang) 507.

Sementara itu Amir juga memaklumkan, JKEP turut menerima surat peletakan jawatan Pengerusi MUDA Pahang, Malani Manimaharan dan Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Jazz Tan atas sebab isu komitmen dan kesihatan.

“Justeru, terdapat keperluan segera melantik pemangku bagi jawatan berkenaan dan pemangku Pengerusi MUDA Perak adalah Devadas Silvaraju, manakala pemangku Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Tineshvar Boontinathan dan di Pahang, akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment