Jangan ‘bocor’ kapal sendiri

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pengerusi UMNO Sabah,  Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menegur seorang Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) supaya ‘tidak membocorkan kapal sendiri’.

Teguran itu dibuat terhadap Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mengusulkan supaya Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menyatakan pendirian sama ada mahu berada dalam Kerajaan Perpaduan ataupun tidak.

Bung Moktar berkata, tindakan Zhemin itu tidak elok kerana PH dan BN bekerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Saya minta lain kali Kampar… usul begitu tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat, tidak elok kita nampak sebab kita berada dalam satu kapal. Jadi jangan bocorkan kapal kita,” katanya ketika mencelah sebelum sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Zhemin mempersoalkan sama ada Ka Siong mahu mengambil tindakan seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang menarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, ia susulan kenyataan Ka Siong yang juga Presiden MCA itu yang kini berada di tengah-tengah, walaupun sebelum ini pernah duduk di kerusi kerajaan dan pembangkang.

“Semalam semasa menteri (Menteri Ekonomi Rafizi Ramli) menjawab saya ada… menteri kata pembangkang tiada solusi… tiba-tiba Ayer Hitam masuk… dia rasa dia pembangkang ke? Saya tidak faham.

“Menteri kata inflasi 1.8 peratus, Ayer Hitam masuk cakap barang semua tinggi,” katanya sambil mempersoalkan sama ada Ka Siong mahu ‘beralih’ tempat duduk.

Berikutan itu, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kemudiannya bangkit termasuk Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mengajak Ka Siong ‘duduk’ di sebelah pembangkang.

Speaker Dewan Rakyat,  Johari Abdul, kemudiannya memutuskan perkara dibangkitkan Zhemin tidak relevan.

Terdahulu Ka Siong menuntut Rafizi, membuat penerangan atau menarik semula kenyataan yang mendakwa dirinya silap memberikan fakta berhubung kos pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) di Dewan Rakyat, semalam.

Ka Siong berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi membersihkan namanya yang dituduh melakukan kesilapan ketika menyatakan kos PADU ialah sebanyak RM85 juta, sedangkan beliau merujuk kepada fakta dilaporkan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment