KUALA LUMPUR 30 Okt. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberikan sokongan penuh kepada Najib Razak bagi memastikan bekas Perdana Menteri itu mendapat keadilan.
Presiden UMNO merangkap. Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai sahabat, beliau yakin Najib berada di pihak yang benar.
“Mewakili UMNO dan Barisan Nasional juga sebagai seorang sahabat, kami yakin Datuk Seri Najib berada di pihak yang benar. Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.
Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan, dan mudah-mudahan Datuk Seri Najib diberikan keadilan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu diberikan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membuat dapatan prima facie selanjutnya untuk bekas pemimpin nombor satu negara itu membela diri.
“Saya menghormati penuh kedaulatan undang-undang tetapi keputusan hari ini bukanlah satu pengesahan bahawa Najib terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang untuk beliau membela diri dan membuktikan tidak bersalah,” katanya.
Hari ini, selepas enam tahun perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana 1MDB, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana itu.
Nnn
