Jika menang boleh cuba nasi goreng USA

PUTRAJAYA 30 Okt. – “Kami tidak tahu bahawa seorang calon dari Malaysia bertanding untuk jawatan Presiden AS (Amerika Syarikat),”, kata Menteri Luar Mohamad Hasan melalui media sosial.

Beliau memberi reaksi berjenaka terhadap dakwaan bahawa calon Presiden AS Kamala Harris mempunyai asal-usul keturunan di Malaysia seperti dakwaan pengulas politik AS, Tucker Carlson semasa perhimpunan bagi bekas Presiden, Donald Trump pada 27 Oktober lalu.

Dakwaan itu mencetuskan rasa tidak percaya dan melucukan dalam kalangan rakyat Malaysia, yang terkejut apabila nama negara disebut dalam kempen pilihan raya AS.

“Jika Puan Kamala menang, kami dengan sukacitanya menjemput beliau untuk #balikkampung dan mencuba #nasigorengUSA”,” kata Mohamad.

Mohamad turut berkongsi pautan dalam hantaran berkenaan kepada artikel pendapat oleh Rahim Said, pakar tingkah laku manusia dan penyumbang tetap kepada platform dalam talian, yang mengulas isu itu dalam bentuk humor.

Dalam artikel bertajuk Keep Malaysia Out of Your Mouth, Tucker Carlson, Rahim mengkritik Carlson kerana seolah-olah mengabaikan fakta asas, menyifatkan kenyataan pengulas itu sebagai penyimpangan luar biasa daripada realiti.

Artikel itu dengan sinis menyebut bahawa dakwaan Carlson menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkedu dan memeriksa peta dunia untuk memastikan fakta.

Dakwaan Carlson bahawa Harris yang berketurunan campuran Jamaica dan India adalah Samoa-Malaysia telah menjadi bahan ketawa secara meluas di media sosial selepas ucapannya pada perhimpunan Trump di Madison Square Garden pada 27 Oktober.

Nnn

Related posts

Leave a Comment