PRU DN Johor: 37 UMNO, 15 MCA, 4 MIC

JOHOR BAHRU 25 Jun – Senarai 56 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 menggabungkan gandingan muka baharu dan lama terdiri daripada 37 wakil UMNO, 15 MCA dan empat MIC.

Daripada jumlah itu, 36 adalah calon lama termasuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 20 lagi calon baharu.

UMNO tampil dengan beberapa perubahan termasuk menampilkan Setiausaha Kerjanya, Mohd Sumali Reduan yang buat kali pertama akan bertanding di Benut, yang sebelum ini disandang bekas Menteri Besar,  Hasni Mohammad.

Di DUN Serom, BN mempertaruhkan Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim menggantikan penyandang, Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

Turut menarik perhatian penampilan semula bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang dicalonkan di DUN Pasir Raja menggantikan penyandang, Rashidah Ismail.

Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara pernah menjadi ADUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 selain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal.

Setiausaha UMNO Johor  Abdul Halim Suleiman yang sebelum ini mewakili Puteri Wangsa (2004 – 2013) juga membuat penampilan semula apabila dicalonkan bagi kerusiDUN Tiram.

Sementara itu MCA mengekalkan empat penyandang iaitu  Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Tan Chong (Bekok) dan Tan Eng Meng (Pekan Nenas).

MCA turut menampilkan tujuh calon baharu yang belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini termasuk daripada sayap Pemuda dan Wanita MCA.

Empat calon wanita turut dipertaruhkan iaitu Teow Chia Ling (Puteri Wangsa), Chan San San (Johor Jaya), Tai Chee Chee (Senai) dan Tan Hiang Kee (Skudai).

MIC pula menampilkan empat calon termasuk V Rugendran, 29, yang juga antara calon termuda dalam senarai BN, untuk bertanding di DUN Kahang di samping kerusi Kemelah, Bukit Batu dan Perling.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh serta Exco Kerajaan Johor, K Ravinkumar, akan bertanding di Kemelah, manakala Pannir Selvan Paliksina diletakkan di Perling, kerusi yang ditandingi MCA pada pilihan raya lalu.

Nnnnnn

foto Dari kiri Dr Adham, Abdul Halim dan Sumali

Related posts

Leave a Comment