KUALA LUMPUR 30 Okt. – Najib Razak akan mula membela diri pada 2 Disember ini terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim, Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan prosiding selama 97 hari hingga akhir tahun 2025, bagi Najib menjawab semua tuduhan berkenaan.
Tarikh yang ditetapkan itu ialah pada 2 hingga 6 dan 9-13 Disember ini, 6-10, 13-17, 20-24 Januari; 10-14, 17-21, dan 24-28 Februari; 3-5, 10-13 dan 24-28 Mac; 7-10, 15-17 dan 21-24 April; 5-9 Mei; 16-20 Jun; 5-8 dan 18-22 Ogos, 8-12 September; 6-10 Oktober dan 3-7 November.
Pada prosiding ketika menutup kes pendakwaan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan menawarkan seramai 49 saksi kepada pasukan pembelaan.
Sementara itu, peguam, Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui pada sidang akhbar berkata, sekurang-kurangnya 11 saksi termasuk yang akan disepina, akan dipanggil memberikan keterangan bagi pihak pembelaan, selain Najib sendiri.
“Ini bermakna mereka terpaksa datang, yang mana mereka adalah saksi bebas. Ia mungkin memakan masa yang agak lama. Kami juga bakal mengambil saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan itu,” katanya.
