KUALA LUMPUR 28 Okt. – Sempena sambutan Deepavali, semua pengguna lebuh raya dikecualikan pembayaran tol selama dua hari bermula pada pukul 12.01 tengah malam 29 Oktober dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 30 Oktober atau Rabu ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma hanya diberi kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol.
Bagaimanapun pengecualian itu tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor.
Alexander dalam kenyataannya berkata, kos pemberian tol percuma dianggarkan berjumlah RM38 juta akan ditanggung kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol terbabit.
Sehubungan itu, beliau berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan disediakan.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” katanya.
