SANAA – Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa melancarkan serangan ke atas dua kapal tangki minyak Arab Saudi, dikenali sebagai Encelia dan Layla, yang didakwa melanggar sekatan laut yang dikenakan kumpulan yang disokong Iran itu.
Menurut kumpulan itu, serangan dilakukan menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dan peluru berpandu sementara laporan keselamatan maritim mengesahkan kapal Encelia, terkena serangan peluru berpandu di Laut Merah.
Encelia dilaporkan menghantar isyarat kecemasan selepas terkena peluru berpandu ketika berada berhampiran pelabuhan Jizan di Laut Merah, sebelum terbakar.
Syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Vanguard, turut mengesahkan kapal tangki berbendera Arab Saudi itu terkena objek peluru yang belum dikenal pasti pada bahagian kanan kapal, kira-kira 70 batu nautika di barat daya Al Shuqaiq, Arab Saudi, pada jam 8 malam GMT.
Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, pihaknya turut menerima laporan sebuah kapal tangki terkena objek peluru yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.
Bagaimanapun, UKMTO tidak mengesahkan sama ada kapal yang dilaporkan itu ialah Encelia, meskipun lokasi dan butiran kejadian sepadan dengan laporan Vanguard.
Pada Isnin lalu, Houthi mengumumkan sekatan laut terhadap Arab Saudi di Laut Merah, satu langkah yang berpotensi mengganggu bekalan tenaga global melangkaui rantau Teluk.
Dalam kenyataan sama, kumpulan itu mendakwa kira-kira 10 kapal berpatah balik selepas diberi amaran supaya tidak belayar ke pelabuhan Arab Saudi.
