NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengulangi desakan supaya gencatan senjata kemanusiaan di Gaza diadakan segera, ketika pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin berlarutan lebih 100 hari.
Setiausaha Agung Pertubuhan PBB, Antonio Guterres berkata, langkah itu perlu untuk memastikan bantuan mencukupi sampai ke kawasan diperlukan serta memudahkan pembebasan tebusan.
Di samping itu, Guterres pada taklimat media di New York berkata, gencatan senjata itu juga untuk meredakan bahang peperangan lebih luas kerana semakin lama konflik di Gaza, semakin besar risiko peningkatan dan salah perhitungan.
Peperangan yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas Israel mencipta malapetaka kemanusiaan untuk 2.4 juta penduduk di kawasan yang dikepung.
PBB berkata pertempuran yang berlarutan lebih tiga bulan menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal, bersesak-sesak ke tempat perlindungan dan bergelut untuk mendapatkan makanan, air, bahan api dan rawatan perubatan.
Guterres mengecam situasi kemanusiaan di Gaza yang dikatakannya sukar digambarkan.
Menurut beliau, majoriti kakitangan PBB Palestin meninggalkan rumah mereka dan 152 kakitangan telah terbunuh sejak 7 Oktober yang disifatkan sebagai “kehilangan nyawa terbesar dalam sejarah organisasi PBB.”
Dengan akses bantuan yang sukar sampai kepada pihak memerlukan, penduduk Palestin di Gaza kini berdepan kelaparan.
Pemimpin PBB itu juga memberi amaran mengenai limpahan konflik, termasuk merentasi sempadan Lubnan-Israel yang berisiko mencetuskan peningkatan yang lebih meluas… dan menjejaskan kestabilan serantau secara mendalam.
Nnnn
