PUTRAJAYA 25 Okt. – Bidaan harga tertinggi nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri MADANI membabitkan nombor pendaftaran MADANI 6 dengan harga RM68,888, diikuti MADANI 5 (RM58,001); MADANI 4 (RM55,000) dan MADANI 3 (RM51,111).
Secara keseluruhan, selepas bidaan NPI siri MADANI dibuka pada 10 Oktober hingga Rabu lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya merekodkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM2,623,329.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata, lima nombor paling banyak dibida ialah MADANI 1118 dengan 17 pembida, MADANI 8055 (15 pembida), MADANI 998 (13 pembida), MADANI 1305 (13 pembida) dan MADANI 113 (12 pembida).
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 5,632 orang dan sebanyak 3,263 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, NPI Siri MADANI ini juga menunjukkan sambutan daripada pembida dalam menyokong agenda MADANI Malaysia secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara.
“JPJ mengucapkan tahniah kepada pembida yang berjaya menerima keputusan rasmi, semalam,” katanya.
Aedy Fadly berkata, bidaan NPI Siri MADANI adalah hasil usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) dan hasilnya akan digunakan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif di bawah kementerian itu.
Beliau berkata, antaranya seperti program MyLESEN, program pertukaran topi keledar, subsidiFlySISWA dan pelbagai inisiatif MOT untuk rakyat.
Nnn
