KUALA LUMPUR 25 Okt. – UMNO menyifatkan permohonan maaf secara terbuka dibuat Najib Razak berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) datang daripada hati nurani yang suci dan tulus serta menzahirkan perasaan ikhlas bekas Perdana Menteri itu.
Setiausaha Agungnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan itu membuktikan dengan jelas dan terang semangat serta jiwa besar Najib sebagai pemimpin utama negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa juga keadaan.
“UMNO menegaskan kenyataan itu menggariskan beliau diperdayakan pihak tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengambil kesempatan serta meraih keuntungan atas tipu daya itu.
“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentu menunjukkan peribadi luhur yang murni dan kecintaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO dan seluruh ahlinya turut berdoa kepada Allah SWT supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar dalam kes 1MDB dan SRC dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Nnn
