KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 perlu disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas, kata Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pagoh dari Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pelaksanaan kenaikan gaji minimum mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Katanya, pihak pekerja yang akan menerima manfaat kenaikan gaji, sudah pastilah gembira tetapi akan menjadi masalah jika majikan memindahkan kenaikan kos upah pekerja kepada pengguna dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Semua ini tentunya memberi kesan kepada kuasa beli pengguna, apatah lagi ditambah dengan bebanan kos perbelanjaan yang sedang dirasai rakyat akibat rasionalisasi subsidi, kenaikan tarif elektrik, peningkatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai lain,” katanya.
Tambahnya, ramai majikan yang sebenarnya tersepit namun terpaksa mengambil langkah menaikkan harga barangan dan perkhidmatan demi kelangsungan operasi perniagaan mereka.
“Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain.
Pembekal akan menaikkan harga. Syarikat pengangkutan akan menaikkan harga. Perkhidmatan-perkhidmatan yang biasa digunakan oleh syarikat juga akan naik harga.
“Saya bimbang akhirnya syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos akan membuang pekerja atau gulung tikar,” katanya.
Justeru katanya, tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 juga perlu diperkasa agar sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
Berucap ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata penguatkuasaan perlu lebih berkesan dan meluas.
Di samping itu, kerajaan juga mestilah lebih berhati-hati dalam melaksanakan apa-apa dasar yang boleh menyebabkan kesan berantai ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Katanya, ramai dalam kalangan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih bergantung kepada sumber pembiayaan dan dasar subsidi kerajaan yang sedia ada. Antara paling terkesan golongan usahawan Bumiputera.
“Saya tidak nampak kesungguhan kerajaan dalam memastikan golongan Bumiputera yang terjejas ini dibantu dengan bersungguh-sungguh. Saya khuatir golongan ini akan terus dibelenggu masalah aliran tunai dengan kenaikan kos modal dan buruh,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan wajar melaksanakan pelan lebih komprehensif supaya perniagaan dapat terus ‘bernafas’ dan kekal berdaya saing.
“Misalnya, kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaan Program Subsidi Upah bagi meringankan beban kenaikan kos operasi syarikat dan mengelakkan mereka membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi.
“Program ini pernah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah program PENJANA ketika pandemik Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut membangkitkan persoalan mengenai Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini tetapi, sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terhadap sistem percukaian baharu itu.
“Kita tak dengar apa-apa berita lagi mengenainya (HVGT). Adakah ditangguh atau dibatalkan? Sedangkan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah atau LVG telah pun dilaksanakan sejak bulan Januari tahun ini.
“Ini seolahnya orang miskin yang membeli barangan murah dikenakan cukai, orang kaya yang memberi barangan mahal tak dikenakan cukai. Ini satu dasar yang songsang,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama turut bertanya mengenai dasar gaji progresif, sama ada ia akan dilaksanakan atau sebaliknya.
“Adakah ia (dasar gaji progresif) akan dilaksanakan, ditangguh atau tidak dilaksanakan langsung. Hal ini mesti diperjelaskan,” katanya.
Dalam perbahasan sama, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan negara bagi memastikan tidak berlaku jumlah belanjawan yang lebih besar pada masa hadapan.
Nnn
