Prof Diraja Dr Syed Muhammad Naquib

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada tokoh intelek Islam,  Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara.

Syed Muhammad Naquib, 93, menerima pengiktirafan gelaran tertinggi dalam kalangan profesor itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

Turut hadir menyaksikan majlis pengurniaan gelaran itu ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir.

Syed Muhammad Naquib adalah pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati dalam dan luar negara.

Beliau memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

Profesor diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran tertinggi itu dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.

Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran profesor diraja ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.

Sementara itu, Dr Zambry , berkata pengurniaan bersejarah gelaran Profesor Diraja itu, akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia.

Beliau berkata pengurniaan itu diharap dapat merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan, seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di negara ini.

Susulan pelantikan itu, kerajaan bersetuju memberi anugerah berjumlah RM500,000 kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau terhadap bidang pendidikan.

“Beliau merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.

Beliau juga memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

“Warisannya tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Profesor Diraja di Istana Negara.

Berikut biodata Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Lahir: 5 September 1931

Umur: 93 tahun

Pendidikan:

* English College Johor Bahru kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar.

* Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaya, Singapura pada 1957.

* Pasca siswazah di Institute Islamic Studies, University McGill, Kanada, 1960.

* School of Oriental and African Studies, University of London, United Kingdom, 1963.

Sumbangan:

* Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari.

* Tokoh penting penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

* Bertanggungjawab pembentangan mengenai konseptualisasi universiti Islam di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah, 1977.

* Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Nn

Related posts

Leave a Comment