KUALA LUMPUR 22 Okt. – Pendekatan kerajaan dalam menoktahkan miskin tegar dan membasmi kemiskinan dilaksanakan tanpa mengira kaum, walaupun hakikatnya majoriti dalam kategori miskin itu adalah Melayu Bumiputera.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik perhatian, contohnya di Kuala Lumpur, majoriti miskin tegar itu adalah Melayu, namn jumlah masyarakat India dalam kategori itu juga besar.
“Tapi apabila kita selesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tak ikut kaum. Maknanya, semua masyarakat miskin atau kategori miskin tegar – Melayu satu jumlah kecil di kalangan masyarakat Cina, tapi (jumlah) besar dalam masyarakat India.
Tidak benar sama sekali bila kata (basmi) miskin tegar (tidak babit semua kaum)… termasuk di Kelantan, ada senarai yang kecil sekali tak salah saya di Kuala Krai atau di mana, ada dua tiga keluarga masyarakat India, itu juga dimasukkan.
“Jadi, saya harap dengan penjelasan ini, jelas dan kalau ada kenyataan di sebaliknya, itu boleh maklum kepada saya kerana ini bertentangan dasar kita. Siapa saja masuk golongan miskin tegar, asalkan dia warganegara, dia wajib dibantu tanpa diskriminasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PN-Sungai Siput) yang meminta Perdana Menteri menoktahkan kemiskinan semua kaum kerana walaupun majoriti paling miskin adalah daripada kaum Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan yang miskin adalah daripada kaum India.
Sementara itu, Perdana Menteri tidak bersetuju dengan kenyataan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang menyimpulkan bahawa kerajaan gagal menamatkan kemiskinan tegar mengikut tempoh yang disasarkan.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kategori tersebut didorong daripada rekod sebelum ini iaitu ketika PN menerajui negara.
“Janganlah kata gagal, jumlah ini (peratusan kemiskinan yang saya sebut) adalah masa kerajaan yang disokong oleh YB Rantau Panjang… kita guna angka itu dan kita selesaikan. Kemudian saya rujuk kepada semua kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Perdana Menteri juga memaklumkan sehingga semalam sebanyak 15,029 ketua isi rumah (KIR) (65.6 peratus) miskin tegar dapat dinoktahkan, daripada 22,893 KIR yang direkodkan pada 1 Ogos lalu, termasuk penambahan KIR miskin tegar baharu.
Terdahulu, Siti Zailah dalam soalan asal ingin tahu mengenai status terkini usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar seperti dijanjikan dan mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar.
Mengenai soalan berkaitan mekanisme, Perdana Menteri berkata memang dulu kerajaan mengambil kira indikator pendapatan, tetapi ada kelemahan dikesan dari segi pendapatan ini.
Umpamanya, kata beliau jika pendapatannya RM2,000 sebulan tapi ada empat isi rumah, maka yang pendapatan sebenarnya RM500.
“Ini juga berbeza daripada yang berpendapatan RM2,000 dan ada lapan isi rumah, pendapatan sebenarnya RM250.
“Sebab itu, sekarang ini diubah daripada indikator pendapatan kepada per kapita. Jadi perkara itu, saya rasa lebih tepat tidak ambil kira pendapatan, tetapi dari segi per kapita kerana lihat juga beberapa orang anak dan tanggungan,” katanya., itu diselesaikan.
Nnnn
