Motif bunga raya logo pengerusi ASEAN

PUTRAJAYA 22 Okt . – Motif bunga raya yang menjadi logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 membawa mesej kesatuan dan perpaduan dalam kalangan negara anggota.

Logo rasmi itu merangkumi empat warna iaitu merah, putih, biru dan kuning yang melambangkan semua negara anggota ASEAN.

Stigma pada logo itu juga membawa mesej enam nilai teras yang terdapat dalam MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, logo terbabit direka oleh Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir, pemenang pertandingan logo ASEAN yang diadakan awal tahun ini.

Logo terbabit diilhamkan daripada bunga raya- Hibiscus rosa-sinensis yang juga bunga kebangsaan Malaysia, yang mana bunga itu biasa ditemui di semua negara anggota ASEAN.

Bunga raya juga melambangkan kekayaan budaya, perpaduan serta identiti rantau ini.

Lengkungan lima kelopak dalam logo yang seakan memeluk logo ASEAN mencerminkan inklusiviti, mengukuhkan visi Malaysia untuk ASEAN yang aman, stabil dan makmur.

Sementara itu, Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata logo bunga raya itu amat penting kerana ia merangkumi semua negara ASEAN.

“Mesej yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat bahawa keperluan untuk kita terus bersama dan jangan terpikat dengan usaha yang mahu memecah-belahkan kita, ASEAN adalah gabungan yang kuat dan perlu dipertahankan.

“Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, mempunyai tugas utama untuk kita pastikan kesatuan ASEAN yang ditubuhkan sejak 67 tahun lalu dikekalkan berasaskan prinsip zon bebas, aman dan berkecuali,” katanya pada sidang media pelancaran logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad berkata, pendekatan bernuansa dan praktikal ASEAN untuk menguruskan persaingan geopolitik dalam kalangan kuasa besar dilihat sebagai contoh berharga bagi dunia membangun.

Beliau berkata, tumpuan ASEAN terhadap dasar berkecuali, dialog, dan kerjasama serantau menjadi kunci memelihara kestabilan di Asia Tenggara.

“Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan AS$696.7 bilion (RM3.01 trilion) pada 2023, mencerminkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar sejak 2009.

“Pada masa yang sama, perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$395.9 bilion (RM1.17 trilion),” katanya.

Mohamad berkata, imbangan diplomatik yang dipraktikkan, menghasilkan pertumbuhan ketara dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk ASEAN.

“Tahun lalu, kami berjaya menarik sejumlah AS$229.8 bilion (RM993.8) dalam FDI dengan China, dengan AS disenaraikan sebagai penyumbang utama.Kemasukan pelaburan ini sangat penting dalam memacu penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment