KUALA LUMPUR 22 Okt. – Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat berdasarkan kelayakan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, syarat dan keutamaan pelantikan ahli lembaga pengarah GLIC dan GLC diberikan kepada golongan profesional, tetapi tidak mendiskriminasi orang politik.
Katanya, pelantikan ahli lembaga pengarah juga perlu melalui beberapa proses termasuk semakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
“Namun institusi kewangan dan beberapa agensi yang terikat kepada kewangan tidak diizinkan ahli politik dalam ahli lembaga.
Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mencadangkan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dipilih daripada golongan profesional dari sektor swasta yang berintegriti dan tidak mengamalkan lantikan dalam kalangan ahli politik atau pegawai kerajaan yang masih bertugas ataupun sudah bersara.
Anwar juga mengakui langkah Ketua Audit Negara untuk memantau semua 2,000 GLC mulai tahun depan penting untuk memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab masing-masing.
“Bila ada pemantauan yang keras, maka tidak mudah untuk ahli lembaga pengarah bertindak bertentangan dengan prinsip yang ditegaskan. Ini akan memberikan peringatan bahawa tidak harus berlaku apa-apa kecurangan dalam agensi berkenaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat GLIC, GLC dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia dan Syarikat Berkaitan Kerajaan itu sendiri.
Anwar memberitahu, kerajaan juga memutuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
Katanya, penubuhan pejabat penyelaras itu bagi memastikan semua syarikat terbabit mencapai matlamat asal iaitu menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial, di samping memenuhi agenda negara serta ekonomi Madani termasuk kekuatan ekonomi Bumiputra.
“Penubuhan badan-badan berkanun, Bahagian Pengurusan Pertubuhan (BPP) Persekutuan dan CLBG adalah bagi memenuhi maksud-maksud tertentu.
Tetapi bila dikaji semula, memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diperingatkan tentang matlamat asalnya… saya dah tengok itu dan kita putuskan untuk menubuhkan pejabat penyelaras rasionalisasi badan-badan berkanun termasuk CLBG,” katanya.
Nnn
