KAHERAH – Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh manakala puluhan yang lain cedera dalam serangan Israel yang menggunakan taktik kepung dan serang menyasarkan beberapa kediaman di dataran di Jabalia.
Ia menjadi sasaran serangan terbesar daripada lapan kem pelarian di Gaza di mana tentera menggunakan kereta kebal meletupkan jalan dan rumah ketika mereka semakin mara ke wilayah itu.
Sementara itu, agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan antara yang terbunuh itu sekurang-kurangnya 20 adalah wanita dan kanak-kanak mankala menurut pegawai perubatan pula, sekurang-kurangnya 50 orang yang lain cedera.
Sebelum serangan baharu itu, Kementerian Kesihatan Gaza semalam mengesahkan, sekurang-kurangnya 59 rakyat Palestin dengan 20 daripadanya di Jabalia terbunuh akibat serangan tentera Israel di seluruh Gaza.
Penduduk Jabalia di utara Gaza berkata, kereta kebal Israel sudah menakluki kawasan tengah kem termasuk membedil ruang udara dan tembakan darat, selepas menggempur pinggir bandar dan daerah kediaman.
Katanya lagi, tentera Israel bertindak memusnahkan berpuluh-puluh rumah setiap hari dengan meletakkan bom di dalam bangunan kemudian meletupkannya dari jauh selain mengerakkan serangan udara dan darat.
Sementara itu Israel berkata, tenteranya yang menawan Jabalia sejak dua minggu lalu, membunuh berpuluh-puluh tentera pejuang dalam pertempuran jarak dekat dan Khamis lalu melakukan serangan udara dan memusnahkan infrastruktur tentera.
Tentera Israel berkata, operasinya di Jabalia bertujuan menghalang pejuang Hamas bersatu untuk melancarkan lebih banyak serangan balas.
Penduduk berkata, tentera Israel mengepung beberapa kawasan Gaza di utara Beit Hanoun, Jabalia dan Beit Lahiya dari Bandar Gaza, menghalang pergerakan kecuali keluarga yang mematuhi arahan pemindahan dan meninggalkan tiga bandar itu.
Semalam, pegawai kesihatan merayu supaya bekalan bahan api, bekalan perubatan dan makanan dihantar segera ke tiga hospital utara Gaza yang dihujani jumlah pesakit cedera yang ramai.
Di Hospital Kamal Adwan, pasukan perubatan terpaksa memindahkan kanak-kanak yang diserang ke unit rawatan rapi dengan lebih banyak pesakit dewasa cedera parah akibat serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah melindungi warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Jabalia pada Khamis, di mana 28 orang terkorban.
Sementara itu, Ketua Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini menerusi platform sosial X, berkata serangan ke atas sekolah itu serangan ketiga ke atas kemudahan UNRWA dalam tempoh seminggu ini.
Katanya, agensi itu sudah kehilangan 231 anggota dalam tempoh setahun pertempuran.
Nnn
