Singapura terus catat kes import

SINGAPURA 6 April – Singapura terus merekodkan pertambahan kes Covid-19 dengan semua 24 kes  hari ini adalah kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes kini 60,519 dengan kematian kekal 30.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, tiada jangkitan Covid-19 dilaporkan dalam masyarakat buat tiga hari berturut-turut.

Lima kes yang dilaporkan hari ini adalah Penduduk Tetap (PR) Singapura yang tiba dari India dan Malaysia, satu kes pemegang pas tanggungan yang tiba dari Ukraine dan pemegang pas lawatan jangka panjang dari FIlipina.

Dua kes lain adalah pemegang pas pelajar dari India, pemegang pas kerja  dari Bangladesh dan 12 pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Malaysia, termasuk seorang pembantu rumah asing.

Baki dua kes yang dilaporkan hari ini adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India. Salah seorang daripadanya tiba di sini untuk menziarahi anggota keluarga yang merupakan PR di sini, dan seorang lagi atas urusan kerja.

Sebanyak 25 kes sudah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 kini seramai 60,239.

Ketika ini masih ada 48 kes  di hospital, dengan kebanyakannya dalam keadaan stabil manakala seorang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment