Tanya sama Sam apa sebab ‘goncang’

APA cerita? Tiba-tiba nama Bagan Datuk, kawasan pilihan raya Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi sebutan terutama dalam kalangan orang politik sama ada melibatkan parti pendokong kerajaan Perpaduan atau Perikatan Nasional (PN).

Ada dua cerita menarik dalam beberapa hari ini. Pertamanya cerita yang ‘diriwayatkan’ atau ‘dikisahkan’ oleh Shamsul Iskandar Md Akin, mengenai ‘pengorbanannya’ pada malam keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Cerita kedua apabila khabar dari Bagan Datuk membawa kisah Abdul Hakim, adik Ahmad Zahid meninggalkan UMNO yang diterajui abangnya untuk menyertai Pas. Bagaimanapun dalam sesebuah keluarga ada yang berbeza parti bukanlah luar biasa.

Maka paling menarik dalam cerita menarik ini adalah ‘pengorbanan’ Shamsul Iskandar atau Sam. Entah kenapa tiba-tiba Sam muncul dengan cerita lama itu yang rasanya kertas undi juga sudah dilupuskan. Apa lagi mau cerita?

Sam, bukan kaleng-kaleng orangnya. Beliau kini adalah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sam sanggup meninggalkan kawasan pilihan rayanya Hang Tuah Jaya di Melaka untuk ‘menewaskan’ Ahmad Zahid.

Bagaimanapun Sam kecundang. Ahmad Zahid pula menang tipis, majoriti 348 undi. Sam mahu mencabar keputusan itu tetapi melalui sesi audio siar ‘podcast Apa Cerita’ beliau bercerita, kononnya diarahkan Presiden PKR untuk tidak mencabar kemenangan itu.

Sam berkata, beliau merasakan sesuatu yang pelik apabila pengiraan kertas undi di Bagan Datuk masih belum muktamad sehingga lewat malam, walaupun jelas beliau bakal menewaskan Ahmad Zahid di kubu kuat Presiden UMNO itu.

“Saya dapat panggilan telefon Anwar pada 2.30 pagi. Ketika itu, saya cakap, kita mesti lawan. Kita kena pastikan kita kira betul-betul. Undi rosak pun dekat 800. Macam mana pulak, saya kalah 348 (majoriti). Kita mahu terus lawan.” kata Sam.

Bagaimanapun, menurut Sam, Anwar tidak mengambil pendirian yang sama.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Sam.

Pada PRU itu, Ahmad Zahid memperoleh 16,578 undi berbanding Shamsul Iskandar 16,230 undi manakala calon PN diwakili Dr Faiz Na’aman memperoleh 8,822 undi.
Ketika PRU ke-14, Ahmad Zahid menang dengan kelebihan 5,073 undi.

Pastinya kenyataan Sam itu menimbulkan pelbagai tanggapan atau persepsi negatif walaupun belum pasti kesahihannya.

Khalayak akan bertanya Anwar dan Zahid lebih awal berpakat untuk membentuk kerajaan? Kenyataan Sam direstui Anwar? Apa motif Sam? Adakah mungkin Sam mahukan sesuatu yang lebih berbanding jawatan sekarang? Mungkin jika beliau diisytiharkan menang malam itu, dan PH membentuk kerajaan, kedudukannya bertaraf menteri! Mungkin.

Hakikatnya, kenyataan Sam meresahkan banyak pihak walaupun resam politik kita ‘hangat-hangat tahi ayam’. Demi kelangsungan politik, ia akan berakhir begitu sahaja, sama seperti slogan ‘No Anwar, No DAP’ atau cerita ‘cikgu dan anak murid’.

Mungkin Sam mahu menguji sejauh mana semangat bersama UMNO dan PKR dalam Kerajaan Perpaduan. Biar apa pun yang melanda walaupun kisah benar hubungan sesama parti kekal utuh! Itu politik baharu.

Menyelak kembali reaksi berhubung kenyataan itu, Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah, anak Ahmad Zahid antara individu terawal memberi reaksi sambil menyatakan kesal kerana tidak ada pihak dalam UMNO yang mempertahankan Presiden UMNO susulan dakwaan yang dibuat oleh Shamsul Iskandar itu.

Ketua Penerangan UMNO Bagan Datuk itu menyifatkan Sam berhalusinasi berhubung keputusan kerusi Bagan Datuk malahan menyindir Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu sebagai ‘terpaling tahu’, dan ‘terpaling hero’.

“Kira sekarang ni kau nak kata kau la korban diri untuk bergabung?” kata Nurulhidayah yang menyarankan BN dan PKR meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan yang dilemparkan itu.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, meminta Shamsul Iskandar berjiwa besar dan menghormati proses demokrasi serta mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mencetuskan spekulasi negatif.

Azalina mengingatkan Sam agar memberikan tumpuan kepada kestabilan politik negara, mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan kerana ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang tidak wajar seterusnya menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan negara.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula dilaporkan berkata, tidak wajar untuk mana-mana pihak memberikan pandangan sendiri mengenai apa yang berlaku selepas PRU ke-15 yang berakhir pada 2022.

“Mandat Kerajaan Perpaduan merupakan titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu. Oleh itu adalah tidak wajar bagi sesiapa pun membawa naratif masing-masing,” kata Fuziah melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang terkejut dengan kenyataan itu menganggap pengakuan Shamsul Iskandar sebagai detik “kematian” demokrasi.

“Tindakan Anwar mengarahkan agar kiraan semula tidak dibuat dalam keadaan pertikaian yang sangat munasabah adalah membunuh semangat demokrasi,” katanya sambil mendakwa wujud konspirasi di antara PH dan UMNO.

Tidak pasti sejauh mana kesan terhadap politik kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini. Seperti disebut di atas sama seperti slogan UMNO’No Anwar No DAP’ dan perbualan telefon ‘cikgu dan anak murid’ isu ini juga akan longlai begitu sahaja.

Pusing-pusing ke situ. Seperti lirik lagu Tanya Sama Pokok” yang berakhir dengan ‘ campak satu batu bayang pun hilang’

Tanya sama pokok apa sebab goyang
Nanti jawab pokok angin yang goncang
Tanya sama angin apa sebab hujan
Nanti jawab angin tanyalah awan

Awan nanti kata aku kandung air
Sampai tempat sejuk aku pun cair
Lihat dalam air nampak bayang-bayang
Campak satu batu bayang pun hilang

Kita tunggu media tanya Anwar dan Ahmad Zahid.

Nnn

Related posts

Leave a Comment