Penguatkuasaan akta secara berhemah

PUTRAJAYA 1 Okt. – Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan 2 Februari lalu akan dikuatkuasakan secara berhemah dan munasabah, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, terdapat dua aspek dalam pelaksanaan akta terbabit, iaitu secara serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan agar wujud suasana saling menghormati undang-undang dan hak terutama dalam penjualan produk tembakau, rokok elektronik (vape) kepada kanak-kanak bawah umur.

“Saya yakin penguat kuasa KKM ambil pendekatan berhemah supaya kerelaan dan kesediaan mereka yang terlibat dalam industri ini memahami kita lakukan semua ini adalah untuk kebaikan kesihatan generasi muda,” katanya selepas sambutan Hari Warga Emas peringkat kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, antara cabaran yang akan dihadapi, ialah mengenal pasti umur pembeli serta kesukaran memastikan individu yang membeli produk tembakau ialah orang belum dewasa (OBD).

Penguatkuasaan serta-merta bermula hari ini melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk terbabit.

Dzulkefly berkata, KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok berleluasa, termasuk promosi pemasaran kurang beretika yang menyasarkan golongan berkenaan.

Selain itu, peruntukan akta juga melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.

Penguatkuasaan pendidikan akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan dari tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

Selain itu, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan 1 April 2025 serta pembungkusan dan pelabelan pada 1 Oktober 2025.

Related posts

Leave a Comment