KOTA BHARU 21 Julai – Mulai 15 Julai lalu, ketua balai di Kelantan perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih, antara strategi baharu dalam usaha Polis Kelantan mengekang pengedaran dadah di negeri itu.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh dan berfokus membabitkan semua peringkat.
Katanya, di peringkat balai, ketua balai fokus kepada tangkapan penagih, di ibu pejabat polis daerah (IPD) pula membabitkan tangkapan pengedar serta tokan, manakala di peringkat IPK, membabitkan yang lebih besar seperti pembekal dadah.
“Kita mempunyai 56 balai, takkan ketua balai tidak tahu berapa ramai penagih di kawasan mereka? Jika dia tidak tahu dia bukan seorang ketua balai dan tidak bekerja. Setiap hari mereka perlu memainkan peranan dan tahan seorang penagih.
“Kita akan melihat keberkesanan pelan strategi ini dalam masa tiga bulan iaitu Oktober nanti. Saya yakin dengan kaedah ini, pengedar dadah akan takut dan lari,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika sebelum ini sasaran tangkapan penagih di Kelantan adalah 85 orang sehari dan pendekatan itu dilihat kurang berkesan.
“Pendekatan sebelum ini menyebabkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di peringkat IPK berdepan kekangan masa untuk menjalankan risikan.
“Jadi menerusi kaedah baru ini yang lebih fokus dan bersasar bagi setiap peringkat, di peringkat IPK, mereka ada masa untuk menjalankan risikan bagi mengesan pembekal dadah.
“Ini jihad saya dan sekiranya isu dadah ini selesai, maka kes jenayah lain juga akan dapat ditangani,” katanya.
Nnn
