Pastikan warga emas meniti usia bermaruah

PUTRAJAYA 1 Okt. – Pelbagai inisiatif diambil dalam memastikan warga emas di Malaysia meniti usia dengan bermaruah serta mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Nancy Shukri berkata, semua itu selaras dengan Dasar Warga Emas Negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan warga emas serta semua pihak yang turut sama terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kepada warga emas.

“Dari aspek penjagaan dan apa jua bentuk sokongan demi mengangkat maruah warga emas. Begitu juga kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas sama ada yang masih sihat atau yang sedang uzur.

Anda juga sebahagian daripada sistem sokongan sosial yang amat penting,” katanya dalam video klip yang dikongsikan menerusi Facebook KPWKM sempena Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini.

Hari Warga Emas disambut 1 Oktober setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’.

Nancy berkata, semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, peratus warga emas bagi suku kedua 2024 adalah 11.6 peratus atau 3.9 juta daripada jumlah penduduk Malaysia.

Dari segi jangka hayat penduduk pula, Malaysia mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 74.8 tahun pada 2023 berbanding 63.6 tahun pada 1970.

“Peningkatan jangka hayat ini petunjuk jelas bahawa negara kita akan berhadapan dengan penuaan penduduk menjelang 2030,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment