PN, Bersatu akan bangkit semula – Muhyiddin

SEPANG 29 Sept. – – Perikatan Nasional (PN) menghormati pilihan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam selaras dengan semangat demokrasi, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi calon PN, Presiden Bersatu itu percaya, kekalahan PN tidak akan mematahkan semangat untuk terus berjuang.

“Kita mesti menerima isyarat pengundi DUN Mahkota dengan berlapang dada dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki prestasi parti.

InsyaAllah, PN dan Bersatu khususnya akan bangkit semula dengan semangat yang lebih jitu untuk mencipta kemenangan di pentas demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua jentera PN yang gigih membantu calon PN serta menghargai pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit dalam PRK ini.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang, menang dengan majoriti 20,648 undi selepas meraih 27,995 undi berbanding calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PN bagi DUN Mahkota, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya menghormati pilihan pengundi dan gabungan itu menyedari sejak awal, DUN Mahkota adalah kubu kuat BN yang sukar ditembusi.

Katanya, PN berusaha sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi sepanjang kempen berlangsung.

“Calon kita diterima baik pengundi. Walaupun tewas, undi diterima Coach Haizan tidak banyak berubah berbanding PRN lalu. Ini bermakna PN masih ada penyokong dan diterima baik pengundi,” katanya.

Pada masa yang sama, PN meminta pihak berkaitan mengkaji faktor peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK Mahkota, semalam.

Beliau berkata peratusan rendah itu perlu dilihat secara serius dan langkah sewajarnya diambil bagi memastikan penyertaan rakyat Malaysia dalam pilihan raya ditingkatkan.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, peratusan keluar mengundi hampir 58 peratus dan PN meraih 7,614 undi.

“Hari ini (semalam), peratusan keluar undi kurang 54 peratus dan ini memerlukan perhatian semua pihak,” katanya selepas keputusan rasmi PRK DUN Mahkota di Kluang, malam tadi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment