SEREMBAN 29 Sept. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kekal menerajui kepemimpinan DAP Negeri Sembilan selepas ahli jawatankuasa baharu sebulat suara memilih beliau sebagai Pengerusi bagi penggal 2024-2027.
Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2004 dipilih dalam kalangan 15 ahli jawatankuasa berkenaan pada pemilihan Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan sempena Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 hari ini.
Selain Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, jawatan Timbalan Pengerusi turut kekal disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren.
Sementara dua jawatan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan masing-masing disandang Exco kerajaan negeri iaitu J Arul Kumar dan Teo Kok Seong manakala
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin juga kekal sebagai Setiausaha DAP Negeri.
Loke yang juga Setiausaha Agong DAP ketika ditemui berkata, empat muka baharu ditampilkan pada jawatankuasa dipilih kali ini.
Katanya, perwakilan DAP Negeri Sembilan sangat matang dan mereka tahu menilai apa yang terbaik dengan memilih mereka dari kalangan berpengalaman dan muka baharu.
“Barisan ini akan memimpin DAP Negeri Sembilan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.
nnn
