GISBH: 4 isteri, 3 anak direman 7 hari

SHAH ALAM 28 Sept. – Empat isteri dan tiga anak seorang Ahli Lembaga Pengarah GISB Holdings (GISBH) direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.

Peguam, Rosli Kamaruddin, berkata individu itu terdiri daripada enam wanita termasuk warga asing dan seorang lelaki berusia 18 hingga 55 tahun itu sebelum ini ditahan sepasukan anggota polis di sekitar Rawang malam tadi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terdahulu, semua individu terbabit tiba dengan menaiki van polis dengan dikawal ketat oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira jam 9.30 pagi.

Mereka dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sementara itu, di mahkamah sama, 10 individu yang mempunyai kaitan dengan GISBH dilanjutkan reman sehingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan berhubung kes pengekploitasian dan pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman antara empat hingga tujuh hari itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Muhammad Firdaus Abdul Rashid terhadap lapan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 53 tahun.

Peguam Shalehuddin Salam berkata, semua 10 individu itu direman selama seminggu sebelum ini dan tempohnya tamat hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Semua individu berpakaian lokap jingga itu tiba dengan menaiki trak polis dikawal ketat anggota dan pegawai JSJ kira-kira pukul 9.35 pagi. Mereka dibawa untuk tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment