TANJONG 28 Sept. – Tiga premis makanan di bandar raya Georgetown di sini diberi notis penutupan 14 hari berkuatkuasa 26 September lalu susulan penemuan najis tikus di lantai dapur dan keadaan kebersihan tidak memuaskan.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan memberitahu, melalui Operasi Bersepadu itu, pasukan penguatkuasaan juga mendapati kesemua premis itu juga gagal menyediakan kawalan makhluk perosak secara berjadual.
Menurut kenyataan itu, operasi menerusi Jabatan Pelesenan MBPP dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) turut memberi perhatian kepada warga asing yang bekerja di premis makanan tersebut.
Menurut MBPP, pemeriksaan oleh imigresen turut menahan seramai enam warga asing iaitu tiga lelaki dan tiga wanita yang bekerja di dua daripada premis makanan berkenaan.
“Lima daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala seorang disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” kata kenyataan itu.
(Foto MBPP)
