MELAKA 28 Sept. – Dewan Selera dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak diarah tutup 14 hari mulai semalam susulan penemuan najis tikus pada lantai premis terbabit dan peti sejuk yang tidak mengikut piawaian ditetapkan.
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan arahan itu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata tindakan itu bagi membolehkan langkah pembersihan serta pembetulan diambil, selain kedua-dua premis masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.
“Pihak koperasi juga diberikan arahan menghentikan dahulu jualan makanan siap bungkus daripada pembekal luar hingga siasatan selesai dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya seperti dilaporkan BH.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga mencadangkan beberapa katering daripada senarainya untuk membekalkan makanan kepada 663 pelajar di MRSM berkenaan sepanjang tempoh penutupan itu.
Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut ke MRSM Terendak selepas menerima laporan 48 pelajar di sekolah terbabit mengalami simptom sakit perut dipercayai keracunan makanan dan lapan daripada mereka dirawat di hospital, namun telah dibenarkan pulang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dapur MRSM berkenaan berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus, selain terdapat najis tikus.
Pejabat kesihatan daerah telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan yang dikesan.
