SHAH ALAM 26 Sept. – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Menerusi surat titah yang dimuatnaik Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.
“Kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” titah baginda sambil menasihati Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.
Baginda menasihatkan Sanusi supaya tidak terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor.
Menurut Sultan Sharafuddin, baginda tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.
“Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Dato’ Seri.
Sebagai seorang pemimpin, Dato’ Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali, beta berharap semoga Dato’ Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” titah Sultan Sharafuddin.
Semalam, Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.
Nnnn
